“Subhanallah.. Alhamdulillah” Aku berzikir menyebut nama
Allah. Aku berzikir dengan khusyuk sekali. Aku menggunakan jemari tangan
kananku untuk menghitung zikirku kepada Allah.
Sesekali aku akan menggunakan alat pengira zikir. Hari ini,
aku tidak membawa alat pengira zikir itu ke Musolla. Lagipun, lebih baik aku
menggunakan jemariku ini untuk menghitung zikirku. Ini adalah kerana jemariku
akan memberitahu Allah, “Tuanku telah menggunakan aku untuk menghitung zikirnya
kepada-Mu.” Jadi, aku ingin memanfaatkan seluruh anggota badanku pada jalan
Allah supaya Allah meredaiku.
Sementara menunggu
waktu solat Isyak tiba, lebih baik aku menggunakan masa emas ini dengan
berzikir demi mendapatkan waktu yang diberkati Allah.
“Wei, kau nak tahu tak, artis yang
aku minat tu dah nak kahwin….” Suara itu datang dari belakangku. Suara itu
milik seorang junior. Dia sedang bersembang tentang cerita sensasi bersama
kawannya.
‘Biarlah.. Lagipun, mereka baru
pulang dari rumah. Mesti mereka ada banyak cerita,’ hatiku bermonolog. Aku
hanya bersabar. Aku meneruskan zikirku. Dua orang di belakangku itu masih
rancak bercerita tanpa menghiraukan orang lain yang ingin beribadat. Aku buat
endah tidak endah terhadap mereka. Aku berharap mereka berdua menghentikan
perbualan yang tidak berfaedah itu demi menghormati orang yang ingin beribadah.
“Lailahaillallah… Lailahaillallah..”
Aku bertahlil. Mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah. Aku sudah berikrar
kepada Allah bahawa sesungguhnya solatku, ibadahku, dan matiku hanyalah untuk
Tuhan semesta alam ini.
Semalam, aku menghadiri kelas Tafsir untuk menduduki salah
satu peperiksaan aliran Azhariah. Murobbi mengajar tafsir Surah An Naba’. Aku
berasa diri ini begitu kerdil apabila
dapat mengetahui ada lagi enam lapisan langit yang merupakan perkara sam’iyyat
dalam diri manusia.
Rupa-rupanya, atmosfera bumi dan ruang angkasa lepas telah
ditakluki oleh manusia sama ada sudah pergi ke situ atau sekadar mengetahui
keadaan di situ melalui teknologi terkini
hanyalah langit dunia atau lapisan langit pertama yang dicipta oleh Al
Khaliq.
Subhanallah. Maha suci Allah. Sesungguhnya, Dialah pencipta
segala-galanya. Sebagai contoh, janganlah kita mengatakan bahawa kita yang
menciptakan sesuatu itu. Janganlah kita meninggi diri apabila kita telah
berjaya menghasilkan sesuatu. Ketahuilah bahawa Allah yang mencetuskan idea itu
ke dalam minda kita.
“Alah… Pasukan MU kalah!”
‘Ha’ah!” Ada seorang pelajar yang umurnya sebayaku bersembang
dengan kawannya dengan menggunakan suara yang kuat. Adakah kawannya pekak
sehinggakan dia perlu meninggikan suara? Sudahlah dia meninggikan suara di
Musolla. Mereka berdua duduk tidak jauh dariku. Aku hanya memandang mereka
sekilas.
Mereka tahu akan aku memandang mereka lalu mereka tersenyum
padaku tanda minta maaf. Mereka tahu apa yang tersirat dalam pandangan
sekilasku tadi. Lantas aku membalas senyuman mereka sebagai tanda memaafkan
mereka. Kemudian, mereka bangun lalu pergi ke rak al-Quran untuk mengambil
al-Quran dan membaca al-Quran. Hatiku lega kerana melihat dua orang sahabat itu
membaca al-Quran bersama-sama.
“Sollallahu ala Muhammad.. Sollallahu alaihi wasallam…” Aku
berselawat ke atas kekasih Allah yakni Nabi Muhammad S.A.W. Aku menghayati
bait-bait selawat itu.
Tanpa sedar, aku telah menitiskan air mata kerana terkenang
akan perjuangan baginda pada jalan Allah. Baginda sanggup berkorban apa sahaja
demi agama Islam. Baginda sanggup meninggalkan kota Makkah dan berhijrah ke
Madinah al-Munawwarah semata-mata memenuhi perintah Allah dan ajakan orang Ansar
yang merupakan penduduk Madinah dari kaum Aus dan Khazraj. Baginda juga berani
berjuang menentang musuh-musuh Islam seperti orang musyrikin Makkah. Malah,
baginda sanggup menentang darah dagingnya sendiri, Abu Lahab.
Aku mengesat air mataku lalu aku menyambung selawat ke atas
Rasulullah S.A.W. semula. Begitu besar pengorbanannya terhadap Islam. Semua
dilakukannya adalah untuk umatnya. Baginda masih menyebut ‘Ummati, ummati,
ummati’ yang bererti ‘umatku, umatku, umatku’ sebelum baginda menghembuskan nafasnya
yang terakhir.
“Hahaha.. Hahaha.” Ketenanganku terganggu. Ungkapan selawatku
terbantut. Hatiku berasa sedikit panas umpama baru dicurah dengan air panas.
Mataku mencari-cari pemilik ketawa yang baru kudengari
sebentar tadi. Mataku terjumpa pemilik suara itu. Pemilik suara itu sedang
berbual-bual kosong bersama rakannya dalam satu kumpulan. Mataku mengecil
apabila memandangnya.
Si dia turut memandangku. Aku meletakkan jari telunjukku pada
bibirku untuk menyuruh kumpulan itu diam dan menghormati jemaah lain yang ingin
beribadah. Mukanya tidak menggambarkan apa-apa reaksi. Dia menyambung semula
perbualan yang tidak berfaedah itu dengan kawan-kawannya. Tidak beberapa lama
kemudian, ketawanya bersama rakan-rakannya meletus lagi sehingga mengganggu
Jemaah di Musolla.
Hatiku geram. Adakah dia tidak berasa serba salah apabila
Naib Presiden BADRI ini menghantar renungan tajam kepadanya? Mungkin dia tidak
berasa takut kerana aku adalah manusia biasa yang sama sepertinya.
Akan tetapi, tidakkah dia tahu bahawa dia telah mengganggu
jemaah lain yang ingin beribadah kepada Allah? Adakah dia tidak tahu bahawa dia
telah membuat orang lain tidak khusyuk untuk beribadah kepada Allah?
Jikalau ada lagi Saidina Umar al-Khattab pada zaman ini,
mesti beliau sudah memenggal kepala si pengganggu orang yang ingin beribadah.
“Astaghfirullahalazim…” Aku segera beristighfar apabila
teringat akan amarahku terhadap mereka itu. Aku menyiram hatiku yang membara
dengan air istighfar supaya kepanasan hatiku reda.
“Astaghfirullahalazim…” Aku berstighfar lagi. Aku tidak mahu
ibadahku rosak semata-mata terlampau memarahkan seseorang. Aku ingin menjadi
orang yang beriman yang mempunyai hati yang sentiasa tenang dek sentiasa
mengingati Allah dan Rasul-Nya.
Biasalah… Manusia sering kali alpa, lalai dan leka. Lagipun,
perkataan’manusia’ berasal daripada perkataan Arab, ‘nasia’ bererti lupa. Aku
memaafkan kesalahan mereka. Mungkin mereka lupa akan amarah Allah. Aku berharap
mereka tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Aku juga berharap yang Allah
akan mengampuni dosa-dosa mereka.
Mereka ketawa lagi. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku
keluar dari Musolla lalu menuju ke tempat wuduk. Aku mengharapkan wuduk kerana
Allah ini dapat menenangkan hatiku lagi.
In shaa Allah.
No comments:
Post a Comment