Saturday 25 May 2013

5 Perkara Sebelum 5 Perkara



Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :

Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu,
Hidupmu sebelum datang kematianmu.”

(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya, dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim. Hadits ini dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shogir)

Friday 3 May 2013

Ketenanganku Terganggu


“Subhanallah.. Alhamdulillah” Aku berzikir menyebut nama Allah. Aku berzikir dengan khusyuk sekali. Aku menggunakan jemari tangan kananku untuk menghitung zikirku kepada Allah.

Sesekali aku akan menggunakan alat pengira zikir. Hari ini, aku tidak membawa alat pengira zikir itu ke Musolla. Lagipun, lebih baik aku menggunakan jemariku ini untuk menghitung zikirku. Ini adalah kerana jemariku akan memberitahu Allah, “Tuanku telah menggunakan aku untuk menghitung zikirnya kepada-Mu.” Jadi, aku ingin memanfaatkan seluruh anggota badanku pada jalan Allah supaya Allah meredaiku.

 Sementara menunggu waktu solat Isyak tiba, lebih baik aku menggunakan masa emas ini dengan berzikir demi mendapatkan waktu yang diberkati Allah.

            “Wei, kau nak tahu tak, artis yang aku minat tu dah nak kahwin….” Suara itu datang dari belakangku. Suara itu milik seorang junior. Dia sedang bersembang tentang cerita sensasi bersama kawannya.

            ‘Biarlah.. Lagipun, mereka baru pulang dari rumah. Mesti mereka ada banyak cerita,’ hatiku bermonolog. Aku hanya bersabar. Aku meneruskan zikirku. Dua orang di belakangku itu masih rancak bercerita tanpa menghiraukan orang lain yang ingin beribadat. Aku buat endah tidak endah terhadap mereka. Aku berharap mereka berdua menghentikan perbualan yang tidak berfaedah itu demi menghormati orang yang ingin beribadah.

            “Lailahaillallah… Lailahaillallah..” Aku bertahlil. Mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah. Aku sudah berikrar kepada Allah bahawa sesungguhnya solatku, ibadahku, dan matiku hanyalah untuk Tuhan semesta alam ini.

Semalam, aku menghadiri kelas Tafsir untuk menduduki salah satu peperiksaan aliran Azhariah. Murobbi mengajar tafsir Surah An Naba’. Aku berasa diri ini begitu kerdil  apabila dapat mengetahui ada lagi enam lapisan langit yang merupakan perkara sam’iyyat dalam diri manusia.

Rupa-rupanya, atmosfera bumi dan ruang angkasa lepas telah ditakluki oleh manusia sama ada sudah pergi ke situ atau sekadar mengetahui keadaan di situ melalui teknologi terkini  hanyalah langit dunia atau lapisan langit pertama yang dicipta oleh Al Khaliq.

Subhanallah. Maha suci Allah. Sesungguhnya, Dialah pencipta segala-galanya. Sebagai contoh, janganlah kita mengatakan bahawa kita yang menciptakan sesuatu itu. Janganlah kita meninggi diri apabila kita telah berjaya menghasilkan sesuatu. Ketahuilah bahawa Allah yang mencetuskan idea itu ke dalam minda kita.

“Alah… Pasukan MU kalah!”

‘Ha’ah!” Ada seorang pelajar yang umurnya sebayaku bersembang dengan kawannya dengan menggunakan suara yang kuat. Adakah kawannya pekak sehinggakan dia perlu meninggikan suara? Sudahlah dia meninggikan suara di Musolla. Mereka berdua duduk tidak jauh dariku. Aku hanya memandang mereka sekilas.

Mereka tahu akan aku memandang mereka lalu mereka tersenyum padaku tanda minta maaf. Mereka tahu apa yang tersirat dalam pandangan sekilasku tadi. Lantas aku membalas senyuman mereka sebagai tanda memaafkan mereka. Kemudian, mereka bangun lalu pergi ke rak al-Quran untuk mengambil al-Quran dan membaca al-Quran. Hatiku lega kerana melihat dua orang sahabat itu membaca al-Quran bersama-sama.

“Sollallahu ala Muhammad.. Sollallahu alaihi wasallam…” Aku berselawat ke atas kekasih Allah yakni Nabi Muhammad S.A.W. Aku menghayati bait-bait selawat itu.

Tanpa sedar, aku telah menitiskan air mata kerana terkenang akan perjuangan baginda pada jalan Allah. Baginda sanggup berkorban apa sahaja demi agama Islam. Baginda sanggup meninggalkan kota Makkah dan berhijrah ke Madinah al-Munawwarah semata-mata memenuhi perintah Allah dan ajakan orang Ansar yang merupakan penduduk Madinah dari kaum Aus dan Khazraj. Baginda juga berani berjuang menentang musuh-musuh Islam seperti orang musyrikin Makkah. Malah, baginda sanggup menentang darah dagingnya sendiri, Abu Lahab.

Aku mengesat air mataku lalu aku menyambung selawat ke atas Rasulullah S.A.W. semula. Begitu besar pengorbanannya terhadap Islam. Semua dilakukannya adalah untuk umatnya. Baginda masih menyebut ‘Ummati, ummati, ummati’ yang bererti ‘umatku, umatku, umatku’ sebelum baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Hahaha.. Hahaha.” Ketenanganku terganggu. Ungkapan selawatku terbantut. Hatiku berasa sedikit panas umpama baru dicurah dengan air panas.

Mataku mencari-cari pemilik ketawa yang baru kudengari sebentar tadi. Mataku terjumpa pemilik suara itu. Pemilik suara itu sedang berbual-bual kosong bersama rakannya dalam satu kumpulan. Mataku mengecil apabila memandangnya.

Si dia turut memandangku. Aku meletakkan jari telunjukku pada bibirku untuk menyuruh kumpulan itu diam dan menghormati jemaah lain yang ingin beribadah. Mukanya tidak menggambarkan apa-apa reaksi. Dia menyambung semula perbualan yang tidak berfaedah itu dengan kawan-kawannya. Tidak beberapa lama kemudian, ketawanya bersama rakan-rakannya meletus lagi sehingga mengganggu Jemaah di Musolla.

Hatiku geram. Adakah dia tidak berasa serba salah apabila Naib Presiden BADRI ini menghantar renungan tajam kepadanya? Mungkin dia tidak berasa takut kerana aku adalah manusia biasa yang sama sepertinya.

Akan tetapi, tidakkah dia tahu bahawa dia telah mengganggu jemaah lain yang ingin beribadah kepada Allah? Adakah dia tidak tahu bahawa dia telah membuat orang lain tidak khusyuk untuk beribadah kepada Allah?
Jikalau ada lagi Saidina Umar al-Khattab pada zaman ini, mesti beliau sudah memenggal kepala si pengganggu orang yang ingin beribadah.

“Astaghfirullahalazim…” Aku segera beristighfar apabila teringat akan amarahku terhadap mereka itu. Aku menyiram hatiku yang membara dengan air istighfar supaya kepanasan hatiku reda.

“Astaghfirullahalazim…” Aku berstighfar lagi. Aku tidak mahu ibadahku rosak semata-mata terlampau memarahkan seseorang. Aku ingin menjadi orang yang beriman yang mempunyai hati yang sentiasa tenang dek sentiasa mengingati Allah dan Rasul-Nya.

Biasalah… Manusia sering kali alpa, lalai dan leka. Lagipun, perkataan’manusia’ berasal daripada perkataan Arab, ‘nasia’ bererti lupa. Aku memaafkan kesalahan mereka. Mungkin mereka lupa akan amarah Allah. Aku berharap mereka tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Aku juga berharap yang Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka.

Mereka ketawa lagi. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku keluar dari Musolla lalu menuju ke tempat wuduk. Aku mengharapkan wuduk kerana Allah ini  dapat menenangkan hatiku lagi. In shaa Allah.